SHAHIR'S WIDGET /// Share It With Your Friends


Myspace music player


MEREKA sememangnya cukup rancak berceloteh tatkala bersiaran di radio Hot FM. Sebut saja topik apa, semuanya boleh dibualkan tanpa kekok hingga pendengar berasa dekat dengan mereka.

Namun yang pasti, barisan penyampai radio terhangat itu juga dikurniakan bakat nyanyian yang diserlahkan menerusi album khas Syawal berjudul Hangatnya Raya. Mungkin dikalangan peminat arena hiburan bukan sesuatu kejutan apabila penyampai Hot FM seperti Faizal Ismail, Farah Fauzana, Yini, Ayu, Anne, Ikhwan, Kieran, AG dan Leya menyanyi memandangkan sudah banyak acara menonjolkan bakat terpendam mereka.

Namun penghasilan sebuah album yang memuatkan dendangan bertemakan suasana hari raya sememangnya sangat istimewa apatah lagi sebanyak enam gubahan terbaru disampaikan secara berpadu suara dengan penyanyi seangkatan usia mereka.

Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul, berkata edaran album Hangatnya Raya bukan mahu menyaingi populariti lagu sedia ada sebaliknya memeriahkan lagi musim perayaan kali ini dengan bingkisan segar sebagai buah tangan kepada pendengar.

“Album yang memuatkan enam lagu ini dijangka memenuhi cita rasa masyarakat masa kini apabila memberi pilihan dengan menampilkan dendangan Aidilfitri baru tetapi bukan bertujuan mengenepikan lagu popular hari raya, cuma mahu menyemarakkan lagi musim perayaan.

“Jika selama ini pendengar hanya mengikuti celoteh penyampai kami di corong radio atau menyaksikan drama atau filem lakonan sebilangan daripada mereka, kali ini kita serlahkan lagi sisi seni mereka dengan menghasilkan Hangatnya Raya,” katanya pada majlis pelancaran album.
Hadir sama Pengarah Urusan Rangkaian, Penjenamaan dan Promosi Hot FM, Zurina Othman dan Penolong Naib Presiden Pengurusan Artis dan Strategi Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB), Norizan Abu Samah.

Berlangsung dalam suasana santai, Seelan berkata penghasilan album terbabit tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa kerjasama PMP Artist Management Sdn Bhd, AESB serta Monkey Bone yang turut memastikan produk berkenaan memenuhi kualiti seperti yang diingini pendengar.

Lagu yang dimuatkan meliputi Hanya Kerana Cinta dendangan Hafiz, Aril, Tini, Ayu dan Anne yang dihasilkan Kuncidemak; Salam Silaturrahim nukilan Anjang nyanyian Kieran, Tomok, Mawi, Ikhwan serta Rindu Yang Telah Pergi gubahan Acap dan Roy dinyanyikan Akim, AG dan Black.

Turut menyerlah dan membawa nostalgia syahdu Syawal pastinya lagu Bunga Api Di Hati hasil paduan suara Stacy, Fara Fauzana, Shila serta Leya yang juga ciptaan Shazee Ishak, Omar K bersama Rafidah Abdullah, manakala Tiba garapan Audi Mok disampaikan Faizal Tahir, Shahir dan Faizal Ismail.

Sebagai penyudah projek ulung gabungan tiga syarikat gergasi itu, sebuah lagu nukilan Acap dengan liriknya ditulis Roy berjudul Salam Lebaran disampaikan beramai-ramai oleh semua penyampai Hot FM bersama barisan penyanyi jemputan.

Seelan berkata, album ini juga dijadikan kenangan terakhir bersama penyampai mereka, Anne atau nama sebenarnya, Putri Adreanna Syigim Mohd Razalli yang sudah bersama keluarga Hot FM sejak stesen radio itu ditubuhkan kerana mengikut suami berhijrah ke Doha.

Selain album yang sudah berada di pasaran, istimewanya pada pertengahan Ramadan bakal menyusul DVD dengan enam klip video sebagai pelengkap koleksi malah peminat juga berpeluang memuat turun digital dendangan pilihan menerusi rangkaian Maxis dan semua operator tempatan.


Credi to : Hanisah Selamat (http://www.bharian.com.my)

Categories:

Leave a Reply